Saturday, March 6, 2010

Karenah Artis Muda Tempatan / Teater

Hari ini 20 Rabiul Awal 1431 Hijrah, Sabtu (6/3/2010) 505 petang.

Setiap kali ada apa apa program memberikan anugerah/award, setiap kali lah kita terdengar ucapan pemenang samada dipentas ataupun di interview selepas kemenangan, mereka menyebut Syukur Alhamdulillah, rezeki saya tahun ini dsbnya.

Pertamanya sesuaikah ucapan demikian dengan pakaian yang tidak menutup aurat menampakan susuk buah dada ataupun lurah buah dada dengan jelas di kaca tv. Artis yang sebegini seperti kata Wardina baru baru ini , tak layak untuk di jadikan ikon dan mungkin layak di gelar kurang waras kerana mencampur adukkan perbuatan salah tidak menutup aurat serta mengucap syukur selepas berlakon berpelukan di dalam drama/filem.


Apakah waras artis rock mahupun dangdut memulakan persembahan dengan mengucapkan Assalamualaikum wbt tetapi seterusnya menghayalkan penonton dengan pelbagai perbuatan tidak senonoh mereka di atas pentas.

Apakah waras artis lelaki yang membuka tali pinggang dan baju di atas pentas dan menganggap seperti tiada apa yang berlaku?

Pernahkan mereka ini terfikir yang ramai artis artis senior terdahulu tidak memerlukan sangat segala gelagat tak senonoh melampau seperti mereka hari ini.

Apakah wajarnya seorang pelakon wanita berulang kali hampir setiap bulan bercerita dia tak minat VIP untuk kahwin seolah olah menjaja dirinya di akhbar hujung minggu sekurang kurangnya 2 bulan sekali?

Eloklah penggunaan ucapan Alhamdullillah di ucapkan pada masa yang sesuai oleh artis artis yang layak saja dan bukannya segala jenis artis tong sampah yang dedah sana sini sesuka hati mengucapkan Alhamdullillah bila di interview. Ini tak ubah seperti pelacur yang mendapat ramai pelanggan tahun ini mengucapkan Alhamdullillah , tahun depan nak ke Makkah menunaikan Fardhu Haji ataupun kaki ekor yang menang main nombor ekor berazam ke Makkah menunaikan Umrah.

Pembikinan teater di Istana Budaya yang mengaitkan watak Nabi Adam & Hawa yang di lakonkan secara direct bukanlah percubaan yang berani tetapi mengambarkan kedangkalan ilmu agama Erma Fatima. Satu lagi teater lain yang melibatkan Erma Fatima , Natrah di akhiri dengan mengagungkan struktur gereja yang gah. Elok rasanya Erma Fatima pergi menuntut ilmu agama di mana mana contohnya di UIA ataupun di Universiti Al Azhar sekurang kurangnya peringkat diploma atau seboleh bolehnya ijazah atau ke pondok pondok yang diketahui mengajar ilmu agama yang sebenar, tidak sesat.

Apakah sesuai imej bertudung Erma Fatima dengan menghisap rokok di belakang pentas Istana Budaya? Kesemua imej ini dirakamkan dengan jelas di Istana Budaya.

Sekiranya JAIS boleh membuat serbuan ke atas ceramah agama yang dah jelas tak menyalahi apa apa peraturan enakmen selangor kerana Dr Asri dikecualikan dalam kategori daripada memohon tauliah dibawah enakmen pentadbiran agama Islam Selangor diatas statusnya yang masih pensyarah universiti, Dr Asri juga bekas mufti perlis-------- mengapa tidak JAKIM atau mana mana jabatan agama mengambil perintah mahkamah menahan teater tersebut dari dipentaskan. Apakah pegawai JAKIM yang dikatakan Erma memantau teater tersebut ketika raptai pergi bertugas ataupun pergi menonton sebagai penonton bersantai santai sehingga terlupa yang mereka sepatutnya bertugas.

Kuman seberang laut di denmark dengan watak kartun kita nampak sangat tetapi gajah di depan mata negara kita sendiri membawakan watak Nabi bukannya karekter kartun, kita boleh terlepas pandang, hairan bin ajaib.


Renung-renungkan, selamat beramal,di hari Sabtu ini kata Prof Izi Hot FM.

Classified Ads: Brainstorming session for local celebrities, kindly e-mail, isikcorpadv@gmail.com


NOTA:BERIKUT ADALAH LAPURAN HARIAN METRO SEPERTI YANG TERSIAR HARI INI 6/3/2010 MENGENAI ERMA FATIMA & TEATER ANTARA (COPY & PASTE DARI ONLINE EDITION SERTA BOLEH JUGA DI BELI MENERUSI HARD COPY EDITION HARI INI)


KARPET MERAH: Perlukah ada babak itu?
Oleh Roslen Fadzil
roslen@hmetro.com.my
2010/03/06 BUKAN baru saya kenal Erma Fatima. Ketika Erma hendak berkahwin dengan Bade Hj Azmi pun, saya berjaya menghidu duit hantaran belanjanya yang digubah oleh Pak Andam veteran, Mas Kassim. Maklumlah orang tengah muda, nafsu mencari berita 'scoop' ketika itu tengah meluap-luap!

Meskipun makin lama kesibukan tugas memisahkan kami, saya masih cuba meluangkan masa untuk menonton karya-karya Erma sama ada di layar perak, TV mahu pun pentas. Ada sekali pada pertengahan 1990-an saya dah Erma pernah tinggal satu banglo ramai-ramai (tapi bukan duduk sebilik) dengan rakan artis termasuk M Nasir, Umie Aida, Eja, Vanidah Imran, Rashidi Ishak dan pengarah sensasi Aminah Rhapor di New Delhi, India. Kami ke sana untuk penggambaran drama bersiri Salam Taj Mahal terbitan Kuasatek Pictures. Tapi itu semua cerita lama dan saya masukkan dalam lipatan sejarah.

Baiklah, memang saya dan ramai lagi tahu, pemikiran Erma memang lain sikit. Erma selalu cuba 'think out of the box', berani dan provatif. Memang itu dah pakej Erma Fatima.


Namun melihat pementasan muzikal Antara... di Istana Budaya (IB), pada malam terakhir Ahad lepas, saya jadi gusar dan khuatir. Saya tahu sejak bertudung, Erma makin Islamik dan mahu berdakwah melalui seni. Itu sangat tidak salah dan saya pun tumpang berbangga melihatnya.


Apa yang saya kongsi di sini adalah perasaan dan rasa peribadi saya. Saya bukan hendak berkhutbah. Cuma atas rasa persahabatan dan 'old time sake', saya rasa terpanggil untuk membentangkannya dalam Karpet Merah minggu ini.


Terus-terang beberapa minit pertama saya menonton teater Antara.. jantung saya bergetar. Saya ingin melihat sendiri sejauh mana babak yang dikatakan hanya bayangan 'Nabi Adam A.S. dan Hawa' itu diterjemahkan Erma. Pada tanggapan saya istilah bayang adalah seperti bayang legam tubuh kita jatuh ke dinding atau juga bayang wayang kulit jatuh ke tirai putih.


Rupanya tidak. Apa yang saya lihat di pentas adalah Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz. Seorang berjubah labuh dan seorang lagi memakai legging dan skirt putih. Saya juga sengaja minta duduk di kerusi belakang sekali dengan harapan apa yang dilihat itu tidak akan jelas. Namun ia tetap nampak sebagai Fahrin dan Nasha yang rambutnya panjang.


Kononnya dalam babak itu, Adam dan Hawa sedang bersuka-sukaan sambil berlontar-lontaran madah pujangga. Kemudian datang si Iblis menggoda mereka untuk makan buah yang dilarang Tuhan dan selepas itu bermula kehidupan Adam dan Hawa yang dibuang ke dunia. Saya sedar ketika itu saya sedang menonton sebuah teater arahan orang kita di IB. Saya bukan menonton Charlton Heston sebagai Moses dalam filem Hollywood, The Ten Commandments atau mana-mana kisah Adam & Eve versi orang Barat.


Entahlah, saya tertanya-tanya sehingga ke hari ini, sejak bila pula orang Islam boleh melakon dan menggambarkan watak nabi? Setahu saya, filem Arab pun tidak pernah buat begitu dan kalau ada pun kisah nabi, ia hanya melalui suara bersabda bagi pihak baginda-baginda yang terpuji itu. Saya faham, pihak Jakim ada memantau raptai drama itu, tetapi saya tidak pasti adakah apa yang saya tengok pada malam akhir itu sama macam apa yang dipersembah pada malam raptai. Malah hendak menyiarkan foto watak itu dalam akhbar ini pun, saya tidak sanggup, sebab nanti tidak pasal-pasal surat khabar kena bakar.


Saya tidak ada sekelumit agenda pun hendak menjatuhkan Erma Fatima, tetapi sebagai sahabat dan penonton yang memegang pen dan kertas di Karpet Merah ini, saya tidak boleh tidak, menyuarakan kemusykilan yang terbuku di hati. Jika saya salah, usahlah segan silu untuk memperbetulkan saya kerana kita bukannya makhluk yang maksum. Hidup kena tegur menegur untuk kebaikan.


Selain itu, Erma turut menggambarkan titian yang amat digeruni yang bakal dilalui semua manusia apabila di alam barzakh nanti. Itu juga saya tidak tahu bolehkah kita menggambarkannya menerusi lakonan. Satu lagi babak yang membuatkan saya terfikir adalah orang alim yang sedang berzikir ayat al-Quran tetap tewas dengan godaan iblis dan syaitan. Kesannya terjadilah babak lelaki berserban dan berjubah yang akhirnya bergencok-gencok dengan 'iblis dan syaitan' macam ajaran sesat. Siapakah yang lebih hebat sebenarnya? Kenapa kejahatan perlu dimenangkan? Kita sedar teater sering kali dikaitkan dengan hal-hal metafora atau simbolik. Apakah dalam bercerita mengenai insan terpilih di muka bumi ini, kita juga bebas memainkan unsur gambaran metafora dan terlepas atas tiket seni mahupun kesenian? Bagi saya, teater Antara... masih boleh berjaya sekalipun tanpa babak kontroversi yang saya sebutkan itu. Kenapa perlu ada penyanyi seksi ala Mulan Jameela dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi terselit di celah kisah agama seperti itu? Erma masih bergantung kepada keghairahan? Bagi saya, masih ada lagi cara lain untuk orang seni berdakwah seperti menggunakan elemen pencerita atau narrator. Mungkin juga cara itu sudah lapuk bagi Erma Fatima. Mungkin.

No comments:

Post a Comment